Apa erti kemerdekaan buat Shaq Koyok?
Sebagai manusia, kita mahu kewujudan kita sekurang-kurangnya diketahui, jika tidak dikenali dengan lebih mendalam dan dihargai.
Namun bagaimana rasanya andai kewujudan kita bukan sahaja tidak dihargai, malah diperkotak-katikkan dan kita tak mampu berbuat apa-apa?
Begitulah yang dialami Shaq Koyok apabila melihat satu persatu hak umatnya diambil - pendidikan, tanah, dan pelbagai lagi - tanpa mereka ketahui bahawa ia satu bentuk penindasan.
Sebagai Orang Asli Temuan, beliau mengakui dirinya bertuah dapat keluar dari kampungnya di pedalaman Banting, Selangor untuk melihat dunia yang lebih luas dan mendapat pendidikan yang lebih baik, lantas mengenal makna sebuah kebebasan.
Sejak kecil, berus, cat dan kanvas menjadi wadahnya untuk meluahkan rasa dan Shaq mengorak langkah dari Banting ke Shah Alam untuk menjadi pelukis sepenuh masa yang kini sudah terbang ke serata dunia.
Ramai berkata, “boleh ke hidup senang dengan buat kerja seni?” Jawab Shaq, tiada yang senang, tapi hatinya senang apabila kerja seninya didorong dengan sebuah perjuangan.
Bengkel-bengkel yang diadakan bersama komuniti Orang Asli bermatlamat untuk mendidik mereka tentang hak-hak mereka sebagai manusia dan rakyat di negara ini supaya mereka tidak lagi diambil kesempatan oleh para durjana, supaya akhirnya mereka dapat mengecap kemerdekaan yang sebenar-benarnya - melalui seni.
Bagi Shaq, seni adalah senjata paling halus dalam perjuangan untuk mengecap kebebasan.
Beliau tidak petah berkata-kata, namun berus, cat dan kanvas adalah alatnya untuk meluahkan rasa yang disulam dengan mesej kepada dunia tentang kewujudan dirinya serta umatnya di bumi ini.