Ryeann Syah Sopian

Sukarelawan muda

Labuan

Apa erti kemerdekaan buat Ryeann Syah Sopian?


Kemerdekaan negara yang dicapai 65 tahun yang lalu tidak mungkin menjadi realiti tanpa semangat perjuangan golongan muda.

Api keazaman anak-anak muda yang mendorong barisan kepimpinan berpengalaman untuk menggerakkan usaha mencapai matlamat yang terbaik buat agama, bangsa dan negara, bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk hari esok.

Ryeann Syah Sopian, Labuan

Dengan kudrat yang masih kuat, usia muda tidak boleh disiakan untuk terus merungut tetapi bekerja keras untuk mengatasi kekurangan yang dihadapi demi kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri dan juga generasi mendatang.

Itulah semangat yang dipegang Ryeann Syah Sopian. Di usia 18 tahun, beliau cukup aktif untuk berkhidmat untuk masyarakat di sekitar Labuan.

Ryeann Syah Sopian, Labuan

Menyedari beliau masih belajar dan kewangan belum menjadi kekuatannya untuk membantu, tetapi tenaga mudanya diabdikan untuk kerja-kerja sukarelawan di wilayah kecil di Borneo itu.

Dengan meluangkan masa dan tenaga ke jalan yang bermanfaat, Ryeann melihat ia sebagai satu tabiat yang dapat memerdekakan seseorang daripada perlakuan-perlakuan negatif, tidak kira yang muda mahupun yang sudah berusia.

Ryeann Syah Sopian, Labuan

Baginya, setiap langkah kita perlu ditunjangi azam yang bukan bersifat individualistik semata-mata, tetapi lebih kepada untuk menjadikan masyarakat dan persekitaran yang dianggotainya lebih baik dalam segenap aspek.

Anak muda memang membara bila menyentuh bab kebebasan bersuara, namun sekadar berkata-kata tak ada guna.

Sementara masih kuat, bertindaklah untuk mencapai segala apa yang dihasratkan untuk diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Itu makna merdeka buat Ryeann.