Apa erti kemerdekaan buat Nasir Morni?
Apabila membesar dalam persekitaran yang bergelumang dengan spanar, enjin dan minyak, minat dalam bidang automotif sudah terpahat dalam jiwa Nasir Morni.
Bagi mendalami selok belok kejuruteraan permotoran, anak jati Kuching ini melanjutkan pelajarannya di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuching. Sayangnya ia tidak dapat dilanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau cuba menceburi bidang lain yang turut diminatinya, animasi dan multimedia, lalu menuntut pula di Universiti Lim Kok Wing untuk sekurang-kurangnya memiliki sijil yang ‘laku’ memandangkan lapangan media cukup luas dan sentiasa memerlukan tenaga kerja.
Namun cinta pertamanya tidak pernah dilupakan. Sambil bekerja secara bebas sebagai jurugambar perkahwinan dan jurureka grafik pengiklanan, spanar tetap menjadi pegangannya setiap hari.
Siapa kata kerja bengkel hidup tak terjamin? Nasir sudah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata, hidupnya memang tidak mewah tapi serba cukup. Anak dan isterinya sihat, hidupnya bahagia. Menyara keluarga dengan membuat apa yang beliau suka.
Kini pelbagai kejayaan telah dikecapi Nasir, selepas 10 tahun membuat motosikal kustom bersama rakannya Umar yang mana segalanya bermula dengan idea ‘gila’ membangunkan sebuah motosikal sendiri.
Selain memenuhi pesanan pelanggan, Nasir juga membangunkan motosikal untuk dipertandingkan. Selepas beberapa kali mengungguli arena tempatan, impian tertingginya adalah untuk meletakkan nama Sarawak dan Malaysia di mata dunia dalam adegan motosikal kustom.
Jalan yang dipilihnya masih asing di bumi Kenyalang, mereka yang membikin motosikal di negeri ini hanya boleh dikira dengan sebelah tangan. Nasir sedar dirinya melawan arus.
Namun memetik katanya, untuk menjadi seseorang yang istimewa, jalan kita harus berbeza. Dan dia tekad untuk meneruskan langkahnya di jalan yang dipilih hingga jaya.