Mohd Rafi Kori

Pendaki Everest negara tahun 2007

Terengganu

Apa erti kemerdekaan buat Mohd Rafi Kori?


Ketika ramai rakannya memilih untuk berhijrah ke kota raya, pendaki Everest negara tahun 2007 ini yang lebih selesa untuk kekal di kampung halamannya.

Serata dunia dijelajahi, gunung tinggi ditawan, beliau tidak menolak hakikat bahawa peluang lebih banyak dan terbuka di kota. Namun, bagi Mohd Rafi Kori, lebih baik untuk membangunkan kehidupan di laman sendiri.

Andai semua orang ke kota, siapa mahu majukan Kampung Pulau Manis di Serada, Terengganu menjadi tempat yang lebih makmur dan sejahtera? Mungkin begitu fikiran di benak hati Rafi.

Mohd Rafi Kori, Terengganu

Dengan pengalaman luas dalam sukan lasak, Timbalan Presiden Persatuan Kembara Negara dan juga Presiden Terengganu Backpackers ini menggerakkan komunitinya untuk membangunkan Kalang Warisan, sebuah pusat rekreasi dan pelancongan di kampungnya.

Kejayaan menawan puncak tertinggi dunia telah mengukuhkan pegangan di dalam sanubarinya bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai, baik di bandar mahupun di luar bandar, asal ada sesuatu yang bermakna untuk diperjuangkan.

Baginya, jiwa yang merdeka itu tidak mudah mengikut dan tunduk. Rafi ada jalannya sendiri untuk memaknakan kewujudannya dengan mengangkat masyarakatnya supaya berupaya membentuk kemajuan dengan acuan sendiri.

Merdeka itu tidak bergantung harap kepada sesiapa untuk melakukan apa yang terbaik untuk diri kita, begitulah langkah Rafi yang tidak menunggu sesiapa untuk meletakkan definisi maju terhadap dirinya dan masyarakatnya.