Mohd Norisham Muhamad Nawi

Pemandu pelancong di Kota Bharu

Kelantan

Apa erti kemerdekaan buat Mohd Norisham Muhamad Nawi?


Sepanjang 15 tahun mengabdi diri sebagai pemandu pelancong di Kota Bharu cinta Mohd Norisham Muhamad Nawi terhadap bangsa dan negaranya terus mekar dan mendalam.

Bagi Norisham, Malaysia mempunyai kekayaan yang tiada tolok bandingnya, yang tiada di mana-mana tempat lain di dunia dan sepatutnya setiap rakyatnya berbangga serta memperjuangkan martabatnya.

Namun sayangnya beliau melihat budaya bangsa semakin dipinggirkan generasi hari ini, yang semakin hanyut dibawa arus globalisasi tanpa punya pegangan teguh kepada asal usul mereka.

Norisham

Memakai semutar misalnya, yang menjadi pakaian kepala tradisi orang Kelantan, masih dilihat ramai sebagai pakaian kampung dan ‘tiada standard’ ketika seluruh dunia sedang mengorak langkah menuju ‘modenisasi’.

Malu untuk menjadi diri sendiri, terlalu mengikut gaya orang luar semata-mata untuk diterima khalayak yang lebih besar - itu masalah kita yang masih membuku.

Sebagai Setiausaha Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan serta ahli jawatankuasa Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan, itulah yang diperjuangkannya supaya identiti bangsa tidak terhakis hingga satu hari nanti dilupakan oleh umatnya sendiri.

Norisham

Seperkara lagi, cukup meyakitkan matanya apabila rakyat negara yang sudah merdeka 65 tahun ini masih tidak tahu untuk menjaga kebersihan dan kecantikan sekitarnya.

Siapa yang suka rumahnya bersepah penuh sampah dan berfikiran bahawa akan ada orang lain yang dipertanggungjawabkan untuk membersihkannya? Sesungguhnya orang-orang demikian adalah mereka yang mindanya masih terjajah.

Mereka masih belum merdeka daripada tanggapan bahawa ada orang lain yang akan melakukan sesuatu yang sebenarnya baik untuk dirinya dan seluruh masyarakat secara amnya, kebergantungan kepada upaya orang lain.

Norisham

Malaysia ini harus benar-benar dihayati dan diperlakukan seperti rumah kita sendiri - hakikatnya memang negara ini adalah rumah kita yang perlu dijaga oleh setiap warganya.