Apa erti kemerdekaan buat Mohd Azrif Md Amin?
Orang kata “apa ada di Perlis?, Perlis is so small?”
Memang kecil, tidak sebesar Sarawak atau sepesat Kuala Lumpur, tapi tidak bermakna segala yang kecil itu tiada yang indah dan istimewa.
Mohd Azrif Md Amin pernah hidup di kota, memegang sijil Diploma Teknologi Automotif cuba mencari kehidupan yang lebih ‘maju’ dan ‘lebih baik dari di negeri kelahirannya. Namun dirasakan bahagianya bukan di situ.
Beliau kembali ke kampung halaman untuk membantu kedua ibu bapanya mengusahakan inap desa yang dimiliki mereka, mengikut gerak hatinya dan meninggalkan jalan yang selama ini dituruti hanya kerana sudah menjadi seakan ketetapan dalam mendefinisikan makna ‘berjaya’ itu yang dianggap perlu ada di kota.
Sejak empat tahun lalu, Riverview Homestay semakin menggamit pengunjung dari dalam mahupun luar negara yang mendambakan pelukan alam semulajadi yang tidak dapat diciptakan oleh tangan-tangan manusia.
Pemandangan sawah padi luas, dilatari landskap bukit-bukau, daun nyiur melambai ditiup angin timur dan deruan air sungai yang sejuk jernih, semua ini menjelmakan rasa bahagia yang tiada di hutan batu.
Dan Azrif syukur mempunyai kebebasan untuk membuat pilhannya, untuk berada di dalam keindahan ini dan memanfaatkannya untuk memberi kehidupan yang lebih bermakna kepada dirinya, keluarganya dan pengunjung yang hadir
Cumanya beliau berharap bahawa semua kekayaan kurniaan Tuhan ini tidak dijahanamkan mereka yang dangkal tidak mengerti makna kemajuan yang sebenar, supaya sampai bila-bila, ada tempat untuk mereka yang ‘terbelenggu’ di kota untuk merasai secebis rasa ‘merdeka’.