Fadly Bakhtiar

Pengarah Projek, EcoKnights

Kuala Lumpur

Apa erti kemerdekaan buat Fadly Bakhtiar?


Kuala Lumpur, kota raya yang terpesat negara, pusat tumpuan segala kemajuan.

Menara pencakar langitnya ada empat, keretanya berpuluh ribu, rakyatnya sejuta, pembangunannya tak pernah berhenti, semua di sini menjadi penanda aras dan manifestasi makna maju.



Namun lahir di Hospital Kuala Lumpur dan menjalani hampir seluruh hidupnya di ‘kota penuh dosa’ ini, Fadly Bakhtiar melihat segalanya dan merasakan ada yang lompong ketika sekelilingnya bergerak begitu laju ke hadapan.

Kerana itu beliau mencari sesuatu yang baharu, di luar kerangka lazim kehidupan yang menuntut seseorang itu supaya mendapat pekerjaan yang membawa pulangan wang lumayan untuk dianggap sebagai berjaya.



Beliau menyertai EcoKnights, sebuah pertubuhan bukan kerajaan prihatin alam sekitar, sekitar 15 tahun lepas yang mulanya sebagai sukarelawan dan kini mengabdikan seluruh jiwa raganya kepada usaha menyedarkan masyarakat bahawa kesejahteraan alam sekitar adalah kunci kebahagiaan manusia di atas muka Bumi ini.

Fadly menemukan makna dan tujuan hidup dengan melakukan kerja tersebut, dan beliau mahu orang sekitarnya juga sedar dan bertindak untuk menjadikan dunia ini lebih baik, bermula dengan memelihara hubungan dengan alam.



Di sebalik kepesatan di wilayah kelahirannya, Fadly melihat ada kejayaan lain yang patut kita ketahui dan raikan, ada kelemahan yang perlu kita sedari dan perbetulkan, serta ada sesuatu yang penting perlu kita lakukan untuk mengangkat ketamadunan kita sebagai sebuah negara lebih jauh ke depan.