Apa erti kemerdekaan buat Dr Richard Ng?
Dr Richard Ng tidak perlu diperkenalkan di Perak, khususnya di Ipoh.
Lahir pada 1958, setahun selepas kemerdekaan negara, membuatkan figura ini terpanggil untuk menabur bakti kepada masyarakat melalui pertubuhan bukan kerajaan.
Kini beliau adalah Pengerusi Ipoh City Watch, Pengerusi Gabungan NGO Prihatin Perak dan Presiden Kelab Lions Perak yang gerak usahanya tidak hanya tertumpu kepada membantu golongan memerlukan tapi juga prihatin kelestarian alam sekitar.
Tidak hanya warga emas dan mereka yang hidup merata bergelandangan, kanak-kanak khususnya diberikan perhatian kerana merekalah tonggak masa depan negara yang perlu disejahterakan, untuk menjamin masa depan yang lebih sejahtera.
Beban yang ditanggung keluarga yang hilang mata pencarian dek dibadai COVID-19 cuba untuk Dr Richard bersama persatuannya ringankan dan mereka dibantu dengan pelbagai cara seperti bank makanan dan pemberian keperluan harian.
Tidak sejahtera sesebuah masyarakat itu jika anggotanya mengabaikan aspek kesihatan. Maka diberikan pemeriksaan mata percuma kepada warga emas dan mereka yang tergolong dalam kelompok terhimpit B40.
Menjadi sosok paling berusia dalam senarai 16 pemimpin komuniti yang ditampilkan dalam MERDEKA 65, Dr. Richard menjadi bukti bahawa kelemahan yang membebani bahu kita sebenarnya sudah lama wujud.
Tinggal kita yang menyedarinya perlu bergerak bertindak melakukan sesuatu untuk memperbaikinya, agar mudah langkah kita untuk mencapai matlamat yang diimpikan bersama.