Cheryl Ann Fernando

Ketua Pegawai Eksekutif, Global School Leaders Malaysia

Putrajaya

Apa erti kemerdekaan buat Cheryl Ann Fernando?


Kariernya dalam bidang perhubungan awam sudah cukup menjanjikan kehidupan yang stabil. Namun akhirnya Cheryl Ann Fernando menemukan sesuatu yang lebih bermakna.

Di celah-celah kesibukan jadual harian, beliau membuat kelas tambahan percuma kepada anak-anak pelarian di gereja dekat rumahnya. Di situ berputik kesedaran bahawa ada sesuatu yang lebih mustahak di negara ini yang masih belum dipenuhi.

Cheryl Ann Fernando

Bermula dengan mengikuti program Teach for Malaysia, bermulalah perjalanan Cheryl sebagai pejuang pendidikan apabila dihantar ke SMK Pinang Tunggal di Kedah.

Anekdot pengalamannya berdepan ketidak seimbangan kualiti pendidikan ketika mengajar di sana diabadikan di layar perak pada 2017 & kejayaan filem “Adiwiraku” merangkul anugerah filem berprestij negara telah membuka lebih banyak mata tentang kekurangan yang masih belum terbaiki negara ini biarpun selepas puluhan tahun merdeka.

Cheryl Ann Fernando

Lahir dan membesar di Gombak, Selangor tapi kebanyakan masanya beliau berpencak di Putrajaya untuk menggesa barisan kepimpinan negara untuk bergerak dalam memastikan pendidikan di negara ini terus diperkasa.

Hasilnya, beliau dilantik menyertai Jawatankuasa Semakan Dasar Pendidikan Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan dan kini Cheryl mengemudi Global School Leaders Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Bagi Cheryl, pendidikan yang sempurna adalah segalanya - ia dapat memerdekakan seseorang itu daripada sebarang bentuk belenggu.

Minda yang terdidik sebaiknya berupaya menentukan pilihan yang terbaik untuk dirinya tanpa pengaruh dan mengikut telunjuk sesiapa pun yang akhirnya membawa manfaat kepada masyarakat serta alam sekitarnya.

Mereka yang merdeka mampu mengenali potensi sebenar dirinya dan bertindak mengikut rentaknya sendiri untuk mencapai kejayaan dengan bakat dikurniakan tuhan yang tersendiri bagi setiap manusia.