Azizul Julirin

Anak muda berasal dari Kundasang, Sabah

Sabah

Apa erti kemerdekaan buat Azizul Julirin?


Walaupun Malaysia kini sudah menjadi sebuah negara yang pesat membangun selepas 65 berpentadbiran sendiri, masyarakat kita masih belum merdeka daripada belenggu rasuah.

Dari peringkat tertinggi sehinggalah ke tahap masyarakat bawahan, korupsi seakan satu barah yang semakin memburuk dan tidak mustahil akan membunuh negara ini sekiranya ia tidak dirawat sebaiknya.

Azizul Julirin, Sabah

“Wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan telah dimasukkan ke tempat yang lain dan akhirnya menjejaskan proses atau merencatkan pembangunan yang pantas itu tadi,” kata Azizul Julirin.

Beliau adalah seorang anak muda berasal dari Kundasang, Sabah yang mengusahakan sebuah inap desa berasaskan agropelancongan yang turut mengeluar serta menjual sayur-sayuran tanah tinggi yang ditanam secara akuaponik.

Azizul Julirin, Sabah

Azizul punyai kebebasan untuk mengatur hidup mengikut rentaknya, namun segala perancangan dan kemungkinan boleh jadi terbatas malah rosak sekiranya amalan korupsi dan nepotisme masih berleluasa.

Ini kerana beliau berpendapat, kemerdekaan itu bererti tidak menjadi hamba kepada apa sahaja kecuali Tuhan Yang Satu, dan budaya rasuah berakar daripada sifat menghambakan diri kepada duit, sama ada kita sedar ataupun tidak.

Sebagai pengusaha sayur, beliau melihat kita juga sebenarnya sangat mempunyai kemampuan untuk merdeka daripada bergantung kepada bekalan dari luar, dengan tanah luas dan subur serta selamat yang dikurniakan Tuhan.

Azizul Julirin, Sabah

Beliau melihat anak-anak Malaysia mempunyai bakat yang sangat pelbagai dan boleh melangkah jauh, namun budaya yang dilihat musuh nombor satu manusia ini adalah penghalang kepada kita untuk mencapai potensi sebenar diri masing-masing.

“Maksud kemerdekaan bagi saya ialah kita tidak dibelenggu atau terikat dengan kuasa tertentu dan mempunyai kebebasan daripada segi memilih cara berfikir atau mentaliti terbaik seterusnya merdeka membabitkan sudut spiritual atau jiwa,” katanya.