Ashwad Abd Rahim

Sukarelawan Bencana Melaka

Melaka

Apa erti kemerdekaan buat Ashwad Abd Rahim?


“Adik, duit ini bukan kita yang punya.”

Kata-kata bapanya ini yang menjadi pegangan Ashwad Abd Rahim untuk tidak lokek dalam memberi kepada sesiapa sahaja, apatah lagi mereka yang amat memerlukan.

Ketika beliau masih kecil, anak muda kelahiran Melaka Tengah ini sering mengikut bapanya ke mana-mana dan melihat orang tua itu selalu mengeluarkan duit dari poketnya untuk bersedekah. Daripada tauladan dipamerkan itu, Ashwad belajar bahawa segala apa yang dimiliki bukan milik kita yang mutlak.

Ashwad Abd Rahim, Melaka

Kini bapanya sudah tiada dan Ashwad sudah menjadi usahawan yang berjaya, tidak pernah sekali beliau melupakan didikan orang tuanya itu bahawa bahawa kekayaan yang dimiliki harus dikongsi bersama.

Bencana banjir yang melanda negara pada 2021 menggerakkan Ashwad untuk turun padang bersama rakan-rakannya menyumbang apa yang termampu bagi meringankan penderitaan mangsa.

Ashwad Abd Rahim, Melaka

Dari sekadar inisiatif kecil-kecilan secara persendirian, ia terkembang menjadi sebuah gerakan yang lebih tersusun dan rasmi apabila beliau menubuhkan Sukarelawan Bencana Melaka yang sedia untuk berkhidmat bukan sahaja di Melaka, malah mana-mana tempat di serata negara yang ditimpa musibah.

Bagi Ashwad, kemiskinan itu juga satu musibah. Negara yang merdeka sepatutnya didiami oleh rakyat yang tidak terkongkong impian mereka kerana kedaifan.

Ashwad Abd Rahim, Melaka

Demikian matlamatnya, untuk membebaskan mereka yang terbelenggu oleh rantai kemiskinan dan berupaya untuk menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna.