Mohd Azrul Mohd Razak

Kindness Malaysia

Kedah

Apa erti kemerdekaan buat Mohd Azrul Mohd Razak?


Jerih perih bergelumang lumpur membanting tulang di bendang demi mencari sesuap nasi pernah dirasakannya.

Maka apabila terlihat orang yang memikul beban seumpama itu untuk menyara diri dan keluarga di mana-mana sahaja, Mohd Azrul Mohd Razak dapat merasai bagaimana peritnya kehidupan sebegitu.

Namun sekurang-kurangnya mereka ada mata pencarian, biar berat mana sekalipun. Bagaimana dengan orang yang hidup tanpa bumbung untuk berlindung dan tiada katil untuk bermalam?

Mohd Azrul Mohd Razak, Kedah

Lantas Azrul menemukan cara untuk dirinya membantu dengan segala daya yang ada, beliau melibatkan diri dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Kindness Malaysia.

Diabdikan jiwa dan raganya di jalan itu sehingga diangkat menjadi Pengerusi pertubuhan tersebut sejak 10 tahun lepas, beliau sedar bahawa tanggungjawab yang digalas amat besar tapi penuh makna - membebaskan mereka yang kurang bernasib baik dari belenggu kedaifan.

Setakat ini, kurang lebih 10,000 individu dibantu pertubuhan itu untuk bangkit dari kepayahan, dari hidup meminta sehingga mampu untuk berkerja dan meraih pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung penuh kepada ihsan orang.

Mohd Azrul Mohd Razak, Kedah

Baginya, Malaysia yang sebenar-benar merdeka harus dicerminkan oleh rakyatnya, yang berupaya mencapai potensi diri, bermula dengan kebebasan kewangannya.

Masyarakat yang serba cukup segala keperluan mampu untuk menumpukan tenaga dan upaya untuk bersama memacu negara menuju segala yang dituju.