Khairul Nizam Mohd Sopery

Presiden Briged Negaraku Kebangsaan

Negeri Sembilan

Apa erti kemerdekaan buat Khairul Nizam Mohd Sopery?


Menabur bakti di negeri yang terkenal dengan Adat Pepatih, Khairul Nizam Mohd Sopery tidak jemu mengabdikan diri menyumbang khidmat kepada masyarakat pelbagai kaum.

Mesra disapa Nizam, beliau aktif dengan pelbagai kerja kebajikan di sekitar Negeri Sembilan sejak tahun 2009 lalu dan telah menyantuni lebih 30,000 keluarga asnaf.

Adat Pepatih, Khairul Nizam Mohd Sopery

Beliau yang juga Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Briged Negaraku Kebangsaan serta Pemangku Presiden pertubuhan itu di peringkat Negeri Sembilan akui mahu melihat tiada seorang pun rakyat yang kebuluran ataupun tercicir pelajarannya.

Menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) di sebuah sekolah di Bandar Enstek, Nilai pada usia muda, hatinya diruntun melihat masih ada ramai kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat pendidikan sempurna meskipun sudah memasuki tahun ke-65 negara merdeka.

Adat Pepatih, Khairul Nizam Mohd Sopery

Masih tidak kurang ramainya rakyat yang tinggal dalam serba kedaifan ketika di ibu kota bangunan pencakar langit satu demi satu dibina, maka itulah yang menjadi iltizam Khairul Nizam untuk memerdekakan anak Malaysia daripada kemiskinan dengan pendidikan.

Naluri pendidik yang sebati dengan jiwanya juga membuatkan beliau ‘pantang’ melihat kanak-kanak mahupun remaja keciciran pelajaran dan lebih 25,000 pelajar telah didekati bagi memberikan ceramah motivasi percuma mahupun teknik menjawab soalan peperiksaan.

Dalam tempoh COVID-19 juga, beliau tidak hanya berpeluk tubuh, sebaliknya turun padang dan menyumbang lebih 20,000 unit ‘faceshield’ kepada pasukan barisan hadapan.

Adat Pepatih, Khairul Nizam Mohd Sopery

Bercita-cita menjadi guru besar sekolah termuda negara, beliau sentiasa merasakan masih ramai individu yang perlu dibantu dari sudut moral mereka dalam membentuk kelompok masyarakat yang bersahsiah tinggi.