Jafferi Sakedan

Sukarelawan pantai

Pulau Pinang

Apa erti kemerdekaan buat Jafferi Sakedan?


Pada 1 Muharam tahun 2019, Jafferi Sakedan membawa keluarganya untuk berekreasi di pantai RNR Bagan Ajam, Butterworth Pulau Pinang.

Jafferi Sakedan

Namun keterujaan mereka dikecewakan keadaan di pantai tersebut, penuh sampah dalam keramaian orang itu yang seakan tak nampak sampah di sekelilingnya - mungkin membiarkannya kepada tugas kakitangan pihak berkuasa untuk membersihkannya.

Jefferi dan keluarganya pulang kesal, namun mereka anak-beranak kembali keesokan harinya membawa kelengkapan diperlukan untuk membersihkan kawasan rekreasi tersebut.

Jafferi Sakedan

Sengaja dimuatnaik aktiviti mereka hari itu di laman sosial, untuk berkongsi gembira apabila melakukan sesuatu yang dirasakannya sungguh bermakna. Tidak disangka kerja ‘suka-suka rela’ itu menggamit ramai rakannya di Facebook menyatakan keinginan untuk menyertai Jefferi di lain waktu.

Dari keluarga berkembang kepada rakan terdekat sebelum orang ramai ikut serta, komuniti prihatin kebersihan RnR Bagan Ajam semakin berkembang lantas Jefferi membentuk sebuah grup untuk menyatukan mereka.

Kini kumpulan tersebut telah bekerjasama sekolah-sekolah, kolej, universiti malah syarikat korporat, namun mereka bukanlah sebuah kumpulan rasmi yang berdaftar sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jafferi Sakedan

Mereka mahu kekal sebagai komuniti santai yang tidak terikat dengan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak. Mereka bebas untuk bertindak sebagaimana, sekerap mana, bila-bila, mana-mana mereka mahu.

Sampai bila mahu tunggu? Benda baik harus disegerakan, tak perlu menanti orang lain untuk mulakan.

Bagi Jefferi, melakukan sesuatu yang benar itu tidak semestinya perlu menunggu kebenaran atau kelulusan orang lain - demikian makna merdeka baginya.